Arkib Berita

LOGO LPJ

 

13 APRIL 2019, PASIR GUDANG – Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) bersama Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah menganjurkan program Motivasi Pelajar UPSR & SPM 2019 di Dewan Nakhoda, Ibu Pejabat LPJ, Pasir Gudang. Program ini merupakan antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) LPJ dan PTP kepada sekolah dan pelajar-pelajar di sekitar Gelang Patah.

Objektif program ini adalah untuk memberi suntikan semangat dan meningkatkan motivasi kepada pelajar dalam persediaan menghadapi peperiksaan UPSR dan SPM pada tahun ini. Selain itu, program ini juga menerapkan nilai-nilai murni dalam membentuk sahsiah dan keperibadian yang baik di dalam diri pelajar. Penceramah jemputan kali ini adalah  Dr.  H.M Tuah Iskandar, pakar motivasi.

Sebanyak 11 buah sekolah rendah dan 4 buah sekolah menengah dari Gelang Patah dengan jumlah penyertaan seramai 150 orang pelajar telah terpilih untuk mengikuti program motivasi ini. Seramai 14 orang anak-anak warga LPJ yang akan mengambil peperiksaan UPSR dan SPM juga turut bersama-sama menyertai program ini.

Majlis Penutup Program Motivasi ini telah dirasmikan oleh Encik Mohamed Ali b. Mohd Yunos Penolong PPD Pasir Gudang Bahagian Kaunseling & Kerjaya. Majlis ini juga dihadiri oleh Pn.Rafidah Mohd Ali, Pengurus Kanan Khidmat Korporat, En. Shamsul Hamraz b. Zaharuddin, Penolong PPD Johor Bahru Bahagian Kaunseling & Kerjaya dan En. Mohammed Hazaluddin Bin Hashim, Ketua Divisyen Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti Dan Alam Sekitar, Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd.

 

 

LOGO LPJ 

 

11 APRIL 2019, TG. PELEPAS -  Hutan paya bakau amat penting dalam mengimbangi ekosistem kehidupan  dan turut menyumbang kepada perlindungan pantai daripada hakisan ombak serta melindungi persekitaran daripada perubahan cuaca yang melampau. Menyedari hakikat ini Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dengan kerjasama pihak Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Kelab Alami Enterprise telah menganjurkan Program Penanaman Pokok Bakau di kawasan pesisir Tanjung Adang, Gelang Patah.

Kira-kira 100 orang sukarelawan yang terdiri daripada warga LPJ, PTP, Kelab Alami, dan pelajar Netherlands Maritime Institute of Technology (NMIT) telah berjaya menanam 600 pokok bakau jenis Rhizophora di kawasan pesisir Tanjung Adang, Gelang Patah.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Abd Rahim Ramli, Pengerusi LPJ. Turut hadir dalam majlis ini adalah Encik Muhammad Razif bin Ahmad, Pengurus Besar LPJ, Dr. Serina Rahman, Pengasas Besama Kelab Alami, Encik Marco Neelsen, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Pengurusan Kanan LPJ, PTP, Jabatan Perhutanan Negeri Johor , Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri serta Encik Mohd Ramzan bin Johari, Ketua Kg.Tg. Adang.

LPJ melalui LPJ CARES di bawah teras Environment akan sentiasa menyokong aktiviti pemeliharaan alam sekitar dalam menjamin kesinambungan kehidupan semulajadi dan ekosistem terutama di kawasan persekitaran pelabuhan.

 

LOGO LPJ

 

25 – 30 Mac 2019, Langkawi - Pameran Maritim Dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA’19) edisi ke-15 telah berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resorts World pada 25 hingga 30 Mac 2019. LIMA’19  menjadi tuan rumah deligasi perniagaan dari 31 negara dan 390 syarikat pertahanan dan komersial dengan 195 perniagaan antarabangsa mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka sepanjang lima hari pameran. Majlis perasmian LIMA’19 telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir bin Mohamad pada 26 Mac 2019.

Di bawah platform ‘Malaysia’s Southern Gateways’, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), sebagai sebuah badan kawal selia telah bergabung dengan dua buah pelabuhan utama di Wilayah Iskandar iaitu Johor Port Berhad (JPB) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).  Gabungan LPJ, JPB dan PTP ini telah menyertai pameran di bawah Pavilion Maritim Kementerian Pengangkutan Malaysia di Mahsuri International Exhibition Centre, Langkawi.

Objektif penglibatan LPJ dalam program ini adalah untuk memberi pendedahan tentang fungsi dan tanggungjawab Lembaga Pelabuhan Johor sebagai badan kawal selia disamping mempromosi kedua-dua pelabuhan utama di wilayah selatan iaitu Pelabuhan Pasir Gudang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas.

Pada pameran LIMA’19, pihak LPJ turut memaparkan 2 jenis sistem iaitu Vessel Traffic Management System (VTMS) dan Port Traffic Management System (PTMS) yang diaplikasi pada masa kini dan dikendalikan oleh Unit Trafik dan Unit VTMS.

Secara umumnya penganjuran LIMA telah membuka laluan efektif terhadap pertumbuhan pasaran maritim dan aeroangkasa sehingga menjadi antara yang terbesar di dunia. Pameran maritim ini juga berupaya menjadi platform bagi mengukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan serantau.

 

LOGO LPJ

 

Manila, 20 Februari 2019– Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) telah menyertai Pameran Antarabangsa The 10th Philippine Ports & Shipping 2019 yang telah diadakan pada 20 - 21 Februari 2019 bertempat di Sofitel Philippine Plaza Manila, Filipina. Acara ini telah dianjurkan oleh Transport Events Management bersama Philippine Port Authority (PPA) sebagai tuan rumah dan acara ini disokong Asean Ports Association.

Pameran tersebut telah disertai dengan kerjasama pihak Johor Port Berhad (JPB) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dengan objektif mempromosi dan memasarkan dua buah pelabuhan utama di Johor di bawah platform Malaysia’s Southern Gateway.

Sebanyak 250 delegasi dari pelbagai negara iaitu China, Hong Kong, Korea, Australia, United Kingdom, Netherlands dan Finland telah menyertai persidangan tersebut manakala sebanyak 46 buah agensi dan syarikat antarabangsa telah menyertai pameran yang dianjurkan oleh Transport Events Management. Para delegasi juga turut dibawa ke lawatan teknikal ke Pelabuhan Manila (Manila North Harbour Port).

Majlis perasmian The 10th Philippine Ports & Shipping 2019 telah berlangsung pada 20 Februari 2019 yang disempurnakan oleh Encik Fernando Juan C. Perez, Setiausaha Maritim, Jabatan Pengangkutan Republik Filipina. Turut  hadir  Encik Jay Daniel R. Santiago, Pengurus Besar PPA.

 

 

LOGO LPJ

 

 

PROGRAM CSR LPJ KEMBALI KE SEKOLAH 2018 : ‘SATU LANGKAH SATU SENYUMAN’

10 Disember 2018 , PASIR GUDANG – Dalam situasi ekonomi negara yang tidak stabil dan peningkatan ke atas kos sara hidup, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah melaksanakan program ‘Kembali Ke Sekolah’ dengan tema ‘Satu Langkah Satu Senyuman’. Program ini bertujuan untuk membantu pelajar dan mengurangkan sedikit tanggungan keluarga yang kurang berkemampuan untuk membeli barangan kelengkapan sekolah sebagai persediaan bagi menghadapi sesi persekolahan 2019.

Seramai 165 orang pelajar yang terdiri dari sekolah rendah dan sekolah menengah sekitar Pasir Gudang telah menerima sumbangan dari LPJ berupa barangan keperluan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, kasut, beg, alat tulis dan sebagainya dengan jumlah perbelanjaan RM 200.00 setiap seorang. Pusat beli-belah Mydin di Taman Rinting telah terpilih sebagai lokasi bagi membeli keperluan persekolahan ini.

Program ‘Kembali ke Sekolah’ ini dihadiri oleh Pengerusi LPJ iaitu Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim bin Ramli, bersama En.Muhammad Razif Ahmad, Pengurus Besar LPJ. Program ini juga turut menerima sokongan dengan kehadiran dari Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PAJ, Encik Ramli Abdul Rahman.

Dengan terlaksananya program ini, pihak LPJ dapat merealisasikan matlamat mereka dalam membantu meringankan tanggungan ibu bapa bagi menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka. Di samping itu juga program ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada pelajar untuk terus berjaya dan cemerlang dalam pelajaran.

 

 

 

JOHOR BAHRU, 29 OKTOBER 2018 – Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) pada hari ini telah melaksanakan Minggu Pelabuhan Lembaga Pelabuhan Johor atau lebih dikenali sebagai LPJ Port Week 2018 yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Jana Santhiran a/l Muniayan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pengangkutan Malaysia di DoubleTree by Hilton Hotel, Johor Bahru. Acara ini merupakan acara tahunan LPJ dan merupakan kali ke-5 dengan tema pada tahun ini ialah Ports And Logistics 2025.

Dalam ucapan yang disampaikan, Yang Berbahagia Dato’ Jana Santhiran telah memaklumkan bahawa kepentingan pelabuhan untuk celik teknologi agar dapat mempromosikan kecekapan operasi, ketelusan dan saling berhubung dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna pelabuhan. Kegagalan dalam mengimplimentasi teknologi dan rangkaian jalur lebar (internet) dalam pelabuhan menjadikan pelabuhan tersebut kurang kompetitif kerana tidak mampu memenuhi jangkaan dan permintaan pelanggan. Kerajaan akan terus menyokong semua pelabuhan di Malaysia kerana ia penting dalam industri logistik selain mempunyai peranan strategik dalam menyokong ekonomi negara melalui perdagangan. Selain itu, majlis perasmian turut dimeriahkan lagi dengan penyerahan memorandum persefahaman (MOU) antara LPJ dengan Iskandar Halal Park (IHP) Sdn.Bhd serta LPJ dengan Anak Alami Enterprise.

Minggu Pelabuhan pada tahun ini berlangsung selama enam (6) hari bermula pada 27 Oktober hingga 1 November di mana Ports of Treasure Hunt dan Hari Bertemu Pelanggan (HBP) diadakan di Plaza Angsana, Johor Bahru sebagai pembuka tirai program ini. Port Week ini adalah acara tahunan yang dikelolakan oleh LPJ dengan kerjasama Johor Port Berhad (JPB) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn.Bhd (PTP).

Objektif Port Week ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan pelabuhan-pelabuhan di Johor yang dikenali sebagai Malaysia’s Southern Gateways kepada masyarakat sekali gus mengetengahkan kemudahan serta perkhidmatan kepada pengguna pelabuhan. Agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Lembaga-Lembaga Pelabuhan juga turut bersama-sama menjayakan program ini dalam menyertai pameran dalam memperkenalkan kemudahan perkhidmatan mereka kepada awam. Tidak ketinggalan juga pameran berbentuk inovasi daripada sekolah-sekolah dan pameran serta jualan barangan Industri Kecil & Sederhana (IKS). Selain itu juga, pameran ini turut disertai Unit Swadaya Negeri Johor yang mengkoordinasikan peluang pekerjaan dan temuduga secara walk in oleh syarikat-syarikat seperti Aeon, KPJ, 7-Eleven, Al- Ikhsan, Sogo dan banyak lagi.

Selain itu, Port Week Conference 2018 yang berlangsung selama dua (2) hari bermula 29 hingga 30 Oktober merupakan salah satu inisiatif Port Center of Excellence (PCOE) LPJ di mana tema pada tahun ini ialah Ports And Logistics 2025. Seramai 18 orang speaker jemputan dari dalam dan luar negara telah berkongsi pengalaman dan maklumat terkini kepada 250 orang peserta pada tahun ini.

Program Port Week 2018 juga turut diisi dengan forum Johor Halal Logistics 1.0  yang diadakan pada 31 Oktober 2018 di Double Tree by Hilton Hotel, Johor Bahru. Forum ini merupakan yang pertama di Johor bagi memberikan pemahaman dan kesedaran berkaitan logistik halal dan rangkaian penawarannya (supply chain) kepada industry logistik dan pelabuhan. Seramai 11 orang speaker telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan “best practices” kepada 200 peserta yang hadir.

Tidak ketinggalan juga Program Career Talk pada 1 November di hotel yang sama dan Ceramah Perdana yang terbuka kepada awam pada malam tersebut di Atrium Pusat Bandar Pasir Gudang yang disampaikan oleh Y.Bhg Dato’ Haji Mohd Tahrir bin Dato’ Shamsudin, Mufti Johor sebagai penutup tirai Minggu Pelabuhan 2018.

 

 

 LOGO LPJ

 

LEMBAGA PELABUHAN JOHOR DAN PELABUHAN TG. PELEPAS BERKOLABORASI MENGANJURKAN BENGKEL MOTIVASI PELAJAR SPM 2018

 

28 JULAI 2018, PASIR GUDANG – Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah menganjurkan program Bengkel Motivasi Pelajar SPM 2018 di Dewan Besar Ibu Pejabat LPJ, Pasir Gudang. Program ini merupakan antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) LPJ dan PTP kepada masyarakat, sekolah dan pelajar-pelajar sekitar Gelang Patah. Objektif program ini adalah untuk memberi motivasi kepada pelajar bagi meningkatkan pembelajaran dan semangat untuk cemerlang sebagai persediaan menghadapi peperiksaan SPM pada tahun ini. Selain itu, bengkel ini juga diharapkan dapat menerapkan aura-aura positif dalam teknik pembelajaran di sekolah dan kehidupan seharian dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah.

Sebanyak 4 buah sekolah dari Gelang Patah dengan jumlah penyertaan seramai 102 orang pelajar telah terpilih untuk mengikuti program motivasi ini. Sekolah yang terpilih adalah SMK Tanjung Adang, SMK Gelang Patah, SMK Kompleks Sultan Abu Bakar dan SMK Taman Nusajaya. Seramai 9 orang anak-anak warga LPJ yang akan mengambil peperiksaan SPM juga turut bersama-sama menyertai program ini.

Majlis Penutup Program Motivasi ini telah dirasmikan oleh En Ahmad Salhin bin Mustafa, Penolong Pengurus Besar Bahagian Khidmat Korporat & Pembangunan, LPJ yang turut sama disaksikan oleh En Shahrudin Zainal Abidin, Penyelia Hal Ehwal Murid, PPD Johor Bahru, En Husnizar Ahmad, wakil PPD Pasir Gudang, dan Mohammed Hazaluddin Bin Hashim, Ketua Divisyen Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti Dan Alam Sekitar, Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd.

Di dalam ucapan penutup, En Ahmad Salhin bin Mustafa menekankan agar ilmu yang diperolehi di dalam program ini tidak disia-siakan dan dijadikan suntikan semangat di dalam menghadapi dan menjawab soalan-soalan SPM yang bakal menjelang tiba.

 

bengkel motivasi spm2

 

bengkel motivasi spm3

 

bengkel motivasi spm1

 

 

 

LPJ MENYERTAI PAMERAN SEMPENA SAMBUTAN HARI PELAUT 2018

 

PASIR GUDANG, 25 Jun 2018 – Bagi memeriahkan Majlis Sambutan Hari Pelaut 2018 anjuran Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) Jabatan Laut Malaysia, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) telah diundang untuk turut serta menyertai  pameran di majlis tersebut. Penyertaan LPJ ini adalah untuk menghebahkan kepada pengguna pelabuhan dan orang awam mengenai pelaksanaan dan kepentingan dua buah sistem dalam talian  yang sedang diguna pakai di LPJ dalam menangani pengurusan  trafik di laut dan  di pelabuhan. Dua buah sistem tersebut adalah  Vessel Traffic Management System (VTMS) dan Port Traffic Management System (PTMS).  

Majlis Sambutan Hari Pelaut ini telah dirasmikan oleh YBhg Dato’ Rossid bin Musa, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Laut Malaysia. Majlis ini turut dihadiri Encik Muhammad Razif Bin Ahmad, Pengurus Besar LPJ serta Penolong Pengurus Besar Bahagian Khidmat Korporat & Pembangunan, LPJ. Selain itu, majlis ini turut diisi dengan beberapa program ilmiah seperti Taklimat Kerjaya, Seminar Keusahawanan dan Seminar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dihadiri oleh pelajar-pelajar dari beberapa buah Sekolah Menengah sekitar Pasir Gudang.

 

LPJ MENJADI TUAN RUMAH BAGI PERSIDANGAN DAN PAMERAN ANTARABANGSA

16TH ASEAN PORTS & SHIPPING 2018 PADA 3-5 JULAI 2018

 

PASIR GUDANG, 4 JULAI 2018 – Persidangan dan pameran antarabangsa 16th ASEAN Ports & Shipping 2018  yang bermula 3 Julai hingga 5 Julai 2018 telah diadakan di Renaissance Hotel, Johor Bahru dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) diberi mandat untuk menjadi tuan rumah pada persidangan dan pameran kali  ini. Persidangan dan pameran peringkat antarabangsa ini merupakan penyertaan kali ke-2 bagi LPJ menjadi tuan rumah di mana kali terakhir pada tahun 2007.

Difahamkan  seramai lebih 300 orang delegasi dari negara Asean, dan beberapa delegasi dari Hong Kong, Korea, Australia, German, United Kingdom, Netherland dan Finland telah hadir. Manakala sebanyak 28 buah syarikat dari pelbagai jabatan dan agensi dari luar dan dalam negara telah turut menyertai pameran yang dianjurkan oleh Transport Events. LPJ bersama Johor Port Berhad (JPB) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) juga turut menyertai pameran di bawah Malaysia’s Southern Gateways. Beberapa sistem dalam talian iaitu Vessel Traffic Management System (VTMS), Port Traffic Management System (PTMS) dan Ship Emission Management System (SEMS) turut dipamerkan dan diperkenalkan kepada pengunjung yang hadir.

Pada hari sebelum acara persidangan bermula iaitu pada 3 Julai, para delegasi persidangan telah dibawa untuk lawatan teknikal ke Ibu pejabat LPJ Pasir Gudang, Johor Port Berhad (JPB) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP).  Sesi penerangan lawatan teknikal tersebut telah disampaikan oleh En. Ahmad Salhin bin Mustapa, Penolong Pengurus Besar LPJ, Bahagian Khidmat Korporat & Pembangunan, Pn.Rahimah Rahmat, wakil dari JPB dan En.Eric Yap Chee Meng wakil dari PTP. Majlis perasmian 16th ASEAN Ports & Shipping 2018 telah disempurnakan oleh En. Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pengangkutan Malaysia pada 4 Julai di Hotel Renaissance Johor Bahru. Majlis ini juga turut dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim bin Ramli, Pengerusi LPJ & LPJTP dan Encik Muhammad Razif bin Ahmad, Pengurus Besar LPJ.


Aseanports2018 1

 

Aseanports2018 24

 

Aseanports2018 3

 

Aseanports2018 2

 

 

 

PASIR GUDANG, 25 Mei 2018 :-  Prihatin dengan nasib golongan yang kurang berkemampuan terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) telah melaksanakan program “Menyantuni Mubarak Ramadhan 2018 - Lembaga Pelabuhan Johor”. Program ini adalah bertujuan untuk membantu golongan asnaf yang kurang berkemampuan untuk membeli barangan kelengkapan sebagai persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Seramai 104 orang murid yang merangkumi pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan sekitar Pasir Gudang yang berusia antara lingkungan 7 hingga 16 tahun telah menerima bantuan kelengkapan hari raya seperti baju melayu / kurung, seluar, kasut, songkok dan tudung. Matlamat program ini adalah untuk membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan hari raya. Selain itu, program ini juga dapat mengeratkan silaturahim sesama insan di samping menceriakan dan memberikan keriangan kepada anak-anak terbabit untuk menyambut 1 Syawal yang bakal menjelang tiba.

LPJ juga turut menyumbangkan sepasang cermin mata kepada seorang pelajar dari kalangan keluarga asnaf iaitu adik Muhammad Nasrullah bin Abdul Hamid yang mengalami penyakit mata tahap kronik. LPJ berharap sumbangan ini dapat membantu beliau menjalani proses pembelajaran di sekolah kelak.

Kesemua sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim bin Ramli, Pengerusi LPJ dan turut hadir bersama Encik Muhammad Razif bin Ahmad, Pengurus Besar LPJ semasa program berbuka puasa bersama kesemua keluarga asnaf di Tanjung Puteri Golf Resort.


IMG 20180528 WA0045 

IMG 20180528 WA0048

 

IMG 20180528 WA0060

 

IMG 20180528 WA0064