Lembaga Pelabuhan Johor

Lembaga Pelabuhan Johor

KENYATAAN MEDIA - HAB PERDAGANGAN KOKO DI JOHOR BAKAL TINGKAT KDNK NEGARA

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng pada hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pengisytiharan Hab Perdagangan Koko Malaysia di Forest City Hotel, Gelang Patah, Johor.

Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) mewujudkan Hab Perdagangan Koko di Malaysia telah bermula pada tahun 2019 dan 2021. Kajian ini merupakan salah satu usaha dan komitmen Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam menilai lanskap semasa sektor hiliran industri koko di Malaysia yang sedang giat beroperasi khususnya di negeri Johor. Kajian telah dilaksanakan secara libat urus dengan kementerian dan agensiagensi terlibat seperti Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ).

Hab Perdagangan Koko ini diwujudkan untuk memudahkan proses pengimportan biji koko dan membantu dalam menyelesaikan isu-isu kualiti yang boleh menyebabkan penahanan konsainan. Penubuhan hab diasaskan daripada model hab perdagangan koko yang telah beroperasi di luar negara seperti Pelabuhan Amsterdam di Netherlands dan Pelabuhan Singapura.

Terdapat dua (2) lokasi yang diisytiharkan sebagai Hab Perdagangan Koko iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di Johor. Kedua-duanya mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, tenaga kerja yang mahir dan mencukupi serta jaringan domestik yang sangat baik.

Bersempena dengan majlis ini juga, sebuah Buku Garisan Panduan Pengimportan Biji Koko Kering ke Malaysia yang diterbitkan oleh LKM turut dilancarkan. Buku ini bakal menjadi panduan utama kepada pihak berkuasa dan pihak industri khususnya dalam pengurusan pengimportan biji koko kering.

Selain itu, satu kerjasama melalui ‘Memorandum of Understanding’ (MoU) telah dimeterai di antara LKM dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ). Kerjasama ini juga diyakini mampu membangunkan ekonomi negara. Bagi tempoh bulan Januari hingga Jun tahun 2022 sahaja, kadar nilai eksport bagi koko dan produk berasaskan koko telah mencecah RM4.4 billion, iaitu meningkat lebih 11 peratus berbanding nilai eksport pada tempoh yang sama tahun 2021.

Kerajaan menerusi Kementerian dan LKM akan memastikan sektor hiliran koko terus berdaya saing serta lebih produktif untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030)

KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

26 SEPTEMBER 2022

koko9_20220928162656.jpg koko9_20220928162656.webp koko_1_20220928162656.jpg

koko_1_20220928162656.webp koko_2_20220928162656.jpg koko_2_20220928162656.webp

koko_3_20220928162656.jpg koko_3_20220928162656.webp koko_4_20220928162656.jpg

koko_4_20220928162656.webp koko_5_20220928162656.jpg koko_5_20220928162656.webp

koko_6_20220928162656.jpg koko_6_20220928162656.webp koko_7_20220928162656.jpg

koko_7_20220928162656.webp koko_8_20220928162656.jpg koko_8_20220928162656.webp