HARI MARITIM SEDUNIA 2015, PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR PADA 30-31 OKTOBER 2015


30 OKTOBER 2015, Kuala Lumpur – Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) telah mengikuti pameran sempena sambutan Hari Maritim Sedunia 2015 atau World Maritime Day 2015 (WMD 2015) di PWTC selama dua (2) hari bersama-sama Johor Port Berhad (JPB), Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd. (PTP) dan Pelabuhan Tanjung Langsat Sdn. Bhd. (TLP). Acara tahunan ini yang bertemakan “Maritime Education and Training” telah dipilih oleh International Maritime Organisation (IMO) sempena WMD 2015. Program ini adalah anjuran Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Laut Malaysia dimana Malaysia Shipowners’ Association (MASA) dan Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL) menjadi tuan rumah pada kali ini.
Sebanyak 48 booth pameran daripada pelbagai agensi dan jabatan di dalam industri maritim turut serta dalam menjayakan program ini di mana tujuan utamanya adalah untuk mempromosikan pendidikan dan latihan maritim di peringkat yang lebih tinggi dalam memastikan modal insan di dalam industri perkapalan memiliki kualiti dan kemahiran yang praktikal dalam kompetensinya. WMD 2015 juga menekankan kepentingan kuantiti dan kualiti latihan dan pendidikan maritim dalam memenuhi keperluan sektor di masa kini serta pada masa hadapan. Justeru itu, pada tahun ini, LPJ bersama-sama JPB, PTP dan TLP telah bergabung sama di bawah nama Malaysia’s Southern Gateways yang mana fungsi LPJ sebagai badan mengawal selia, pemudah cara dan memberikan perkhidmatan perlesenan kepada pengguna pelabuhan di selatan tanah air.
Sambutan WMD 2015 ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan Malaysia pada sebelah petang sebelum mengadakan lawatan ke booth-booth pameran WMD 2015. Di dalam majlis ini, anugerah Best Port Award 2015 telah dianugerahkan kepada Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang diterima oleh Encik Glenn Hilton, Ketua Pegawai Eksekutif PTP. LPJ dengan ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada PTP atas pencapaian tersebut.

123

Click to listen highlighted text!