Ia bermula pada 28 November 2008 di mana pelepasan satu hari telah diberikan bagi memudahkan warga kerja menguruskan perjalanan mereka memandangkan perjalanan ke Cherating memakan masa lebih kurang 5 jam manakala pendaftaran pula bermula pada jam 3.00 petang. Selepas mendaftar, warga kerja diberi masa untuk berehat setelah penat memandu dan ‘Welcome Dinner’ telah pun disediakan di mana sedikit taklimat penerangan berkenaan acara sepanjang Hari Keluarga LPJ yang berlangsung selama 3 hari 2 malam diberikan.

Acara bermula pada 29 November 2008 seawal 7.00 pagi dengan acara senamrobik diikuti tarian ‘Poco-Poco’ yang mendapat perhatian ramai. Selepas bersarapan acara disambung semula dengan aktiviti Sukaneka yang mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kerja serta ahli keluarga. Antara acara sukaneka yang dijalankan ialah seperti Bola Jaring Bakul, Bola Tampar Pantai, Futsal Kain Pelekat, Lari dalam guni, Tiup gula-gula dalam tepung, Waterfall Bottle, Fishing Time, Hula- Hoop Race, Mummy Return dan sebagainya. Acara ini berakhir pada pukul 12.30 tengahari. Di sebelah petang pula merupakan acara bebas di mana ia memberi ruang kepada warga kerja untuk beriadah bersama keluarga.

Pada sebelah malam pula, semua warga kerja LPJ dan keluarga telah berkumpul bagi memeriahkan lagi acara ‘Grand Nite Dinner’ yang bermula jam 7.45 malam. Acara Grand Nite Dinner yang bertemakan ‘Pop Yeh-Yeh’ tersebut digamatkan lagi dengan pertandingan persembahan daripada setiap bahagian diselang selikan dengan cabutan bertuah. Bahagian Khidmat Korporat dan Pembangunan berjaya merangkul Johan dalam pertandingan persembahan tersebut diikuti Bahagian Operasi dan Kawal selia ditempat kedua seterusnya Terminal Feri Tg Belungkor dan Bahagian Khidmat Pengurusan dan Kewangan ditempat ketiga dan keempat.

Manakala bagi Anugerah Pakaian Terbaik dimenangi oleh Encik Mohd Fadzli bin Asmon bagi kategori lelaki, Cik Nuruljamiatuniza binti Rayu bagi kategori wanita dan Adik Azib Zafran bin Zolkarnain bagi kategori kanak-kanak. Acara berakhir pada pukul 11.00 malam. Keesokan harinya iaitu pada 30 November 2008 selepas bersarapan semua warga kerja berkemas untuk pulang ke rumah masing-masing.
Secara keseluruhannya, program sambutan Hari Keluarga LPJ 2008 ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan berjalan dengan lancar seperti yang telah dirancangkan.

 

 

Click to listen highlighted text!