9 APRIL 2020, JOHOR BAHRU :- Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) dengan kerjasama Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama-sama dengan komuniti Gelang Patah bagi menyalurkan bantuan kepada keluarga-keluarga yang terjejas akibat wabak pandemik ‘COVID 19’ semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula pada 18 Mac 2020.
Program ini melibatkan sejumlah 150 buah keluarga yang berasal dari 5 buah kampung iaitu Kampung Pok, Desa Paya Mengkuang, Kampung Pekajang, kampung Tg. Adang, Kampung Tiram Duku / Kampung Baru Muafakat dan Kampung Ladang / Tg.Kupang / Pendas yang lokasinya berhampiran dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
Melalui program ini setiap keluarga menerima bantuan berupa bahan mentah / barang keperluan seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandum dan lain-lain barang sampingan. Bekalan ini terus di hantar ke rumah penghulu dan beberapa lokasi berhampiran bagi memudahkan proses pengagihan kepada yang terlibat.
Atas keperihatinan pihak LPJ, PTP dan komuniti Gelang Patah bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga-keluarga yang terjejas punca pendapatannya. Disamping itu juga ia merupakan salah satu langkah menyokong kerajaan bagi memastikan masyarakat sentiasa tetap berada dirumah untuk memutuskan rantaian wabak ini demi keselamatan semua.