Polisi Pelabuhan Hijau

DOKUMEN POLISI PELABUHAN HIJAU

*klik gambar untuk keterangan lanjut

Kajian “Ship Emission Analysis”
di Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP)

Elemen : Persekitaran

Skop : Kualiti Udara

Objektif : Mengurangkan Pelepasan Udara Tidak Sihat Daripada Aktiviti Pelabuhan Dan Kapal

Latar Belakang Kajian:

Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) sebagai pihak berkuasa pelabuhan di Johor akan menjalankan kajian berkenaan “Ship Emission Analysis” di PPG dan PTP.Tujuan utama pelaksanaan kajian ini adalah sebagai asas untuk melaksanakan Annex 6 (Regulations for prevention of air pollution from ships) of MARPOL Convention di pelabuhan, di mana konvensyen ini telah pun berkuat kuasa di Malaysia. Bagi melaksanakan kajian ini, pihak LPJ telah melantik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berasaskan kepada kepakaran mereka.

Secara amnya, kapal dikuasakan oleh enjin diesel yang berkapasiti besar dengan menghasilkan pembebasan gas toksik seperti gas nitrogen dioksida (NOx), gas sulfur dioksida (SOx), gas karbon dioksida (CO2), hidrokarbon (HC) dan bahan partikel (PM) ke atmosfera. Pembebasan gas toksik ini akan memberikan kesan yang negatif kepada kualiti udara, penipisan lapisan ozon oleh gas karbon dioksida (CO2) yang akan menyebabkan pemanasan global bumi (kesan rumah hijau) dan kesan terhadap kesihatan manusia. LPJ perlu memainkan peranan yang penting dalam usaha mengurangkan pembebasan gas toksik ini daripada aktiviti perkapalan melalui inisiatif / aktiviti yang telah di rancang di dalam “Polisi Pelabuhan Hijau LPJ”. Polisi ini merupakan panduan umum kepada pihak LPJ dan operator pelabuhan di dalam merancang inisiatif / aktiviti pelabuhan hijau ke arah operasi dan pembangunan pelabuhan yang lebih mampan di Malaysia.

Kajian ini akan dijalankan di dalam tempoh 6 bulan bermula dari 01 Jan sehingga 30 Jun 2015. Kaedah kajian yang digunakan adalah melalui pengumpulan data daripada kapal yang masuk ke pelabuhan. Hasil daripada kajian, ia dapat menganggarkan jumlah pelepasan gas toksik oleh kapal di kawasan pelabuhan melalui “excel tool” yang akan dibangunkan. Laporan penuh kajian akan dipaparkan setelah kajian dapat di laksanakan sepenuhnya.

Kajian Garis Pangkal Untuk Persediaan Mematuhi Konvensyen Antarabangsa The Control And Management Of Ship’s Ballast Water And Sediment 2004 (BWM 2004)

Elemen : Persekitaran

Skop : Kualiti Air

Objektif : 

  • Melindungi, memelihara atau memulihkan ekosistem akuatik dan habitat marin.
  • Melindungi dan meningkatkan kualiti air.

Latar Belakang Kajian:

Malaysia pada 27 September 2010 telah menerima pakai konvensyen antarabangsa Konvensyen BWM 2004 yang mana mengehendaki kapal-kapal melaksanakan pelan pengurusan ballast water dan sedimen dari kapal mengikut piawaian yang ditetapkan.

Oleh yang demikian, beberapa negara ahli International Maritime Organization (IMO) telah dan sedang membangunkan data garis pangkal ballast water masing-masing. Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengangkutan merangka persediaan ke arah penguatkuasaan Konvensyen BWM 2004 ke atas kapal-kapal yang berlabuh di perairan Malaysia.

Kajian menunjukkan bahawa pelepasan ballast water dari kapal-kapal negara luar khususnya di kawasan perairan pelabuhan memberi kesan negatif kepada ekosistem marin dan juga rantaian hidupan dan tumbuhan laut.

Berkemungkinan pelepasan ballast water di perairan Malaysia oleh kapal yang datang dari negara asing boleh mengakibatkan beberapa spesies akuatik asing akan wujud di dalam perairan dan seterusnya ia boleh mengancam ekosistem hidupan marin dan seterusnya boleh menjadi ancaman kepada persekitaran dan manusia.

Oleh itu, Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pengangkutan telah mengarahkan semua pelabuhan di Malaysia dapat melaksanakan kajian garis pangkal sebagai persediaan mematuhi dan menguatkuasakan Konvensyen BWM 2004.

Seiring dengan Polisi Pelabuhan Hijau LPJ di bawah skop Kualiti Air, kajian ini dijadikan sebagai salah satu komitmen LPJ untuk melindungi kualiti air di had perairan pelabuhan dengan mengenal pasti spesies hidupan yang sedia ada untuk dijadikan pangkalan data pelabuhan. Melalui pangkalan data ini, spesies yang sedia ada akan direkodkan untuk dibuat perbandingan ke atas mana-mana tangki ballast water kapal.

Kajian dilaksanakan di dalam 2 fasa berpandukan monsun yang berbeza. Fasa 1 kajian dilaksanakan pada 28 Mei 2014 hingga 01 Jun 2014 manakala fasa 2 kajian dilaksanakan pada 21 hingga 25 Januari 2015. Kajian dilaksanakan secara kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di had perairan pelabuhan Pasir Gudang dan di had perairan Pelabuhan Tanjung Pelepas.