Latar Belakang LPJ

Slide1

Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) telah ditubuhkan pada 1 Januari 1975 di bawah Akta Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1963. LPJ telah memulakan operasinya pada tahun 1977 dan ianya merupakan pelabuhan Malaysia yang pertama mempunyai kawasan perdagangan bebas. Semenjak penubuhannya, LPJ telah mengalami perkembangan yang amat memberangsangkan. Pada tahun 1995, operasi pelabuhan telah diswastakan di bawah Akta Penswastaan 1990 dan bermulalah fungsi LPJ sebagai badan kawal selia terhadap operasi yang dijalankan di pelabuhan.

Di atas keperluan dan permintaan yang tinggi di samping kawasan pantai di Pasir Gudang yang terhad, pihak kerajaan telah mengambil langkah bagi membuka satu lagi pelabuhan di Tanjung Pelepas, di sebelah barat negeri Johor. Pihak kerajaan juga telah meluluskan sebuah syarikat swasta bagi merancang, membina, mengendali dan menguruskan pelabuhan tersebut. Projek pelabuhan kedua tersebut telah dimulakan pada tahun 1995. Pada tahun 1999, fasa 1 telah disiapkan dan ianya telah memulakan operasinya pada Oktober 1999.

Lembaga Pelabuhan Johor juga bertanggungjawab untuk menguruskan Terminal Feri Tanjung Belungkor (TFTB) di Kota Tinggi dan Terminal Feri Changi (TFC) di Singapura. Kedua-dua terminal telah dibina bagi memajukan aktiviti pelancongan di Desaru dan telah mula beroperasi pada 8 September 1993. Perkhidmatan feri RORO pertama telah dijalankan oleh Syarikat Ferrylink sehingga 8 April 2002. Pada masa ini perkhidmatan feri RORO telah dihentikan dan hanya feri penumpang yang berjadual sahaja beroperasi di antara kedua-dua terminal. Kini perkhidmatan feri penumpang disediakan oleh Syarikat Limbungan Maju. Sementara Terminal Feri Tanjung Belungkor kini diuruskan oleh Syarikat Marina Island Venture Capital Sdn. Bhd.

Selain daripada laluan ke Terminal Feri Changi di Singapura, Terminal Feri Tanjung Belungkor juga memberikan perkhidmatan feri penumpang bagi laluan ke Batam dan Tanjung Pinang di Indonesia.

Lembaga Pelabuhan Johor merupakan sebuah badan kawal selia yang mengawal selia operasi di Pelabuhan Pasir Gudang dan operasi di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah.

Sebagai badan kawal selia, Lembaga Pelabuhan Johor bertanggungjawab dalam :

  1. Operasi yang dijalankan di dalam pelabuhan-pelabuhan tersebut.
  2. Mengawal tarif pelabuhan yang dikenakan oleh operator-operator pelabuhan kepada semua pengguna pelabuhan.
  3. Mengawal pembangunan pelabuhan dan hal ehwal hartanah dengan memastikan operator-operator pelabuhan menjalankan pembangunan pelabuhan mengikut Pelan Induk Pelabuhan dan Dasar Pembangunan Negara.
  4. Menetapkan piawaian prestasi pelabuhan dengan memastikan operator pelabuhan menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang efisyen dan efektif mengikut Piawaian Antarabangsa.
  5. Menjaga keselamatan di had perairan Johor terutamanya daripada ancaman lanun, penyeludupan dan sebagainya.
  6. Pemudah cara perdagangan ialah mengadakan promosi bagi pihak operator-operator pelabuhan dengan menyertai pameran dan lawatan-lawatan perdagangan.

Selain itu, LPJ juga mengeluarkan lesen bagi perkhidmatan-perkhidmatan seperti:

  1. Jeti-Jeti Persendirian
  2. Perkhidmatan sokongan :
    • Ship Chandling
    • Kerani Hitung
    • Stuffing/Unstuffing
    • Bunkering
    • Lashing/Unlashing
    • Alat Ganti dan Pembaikan Kapal
    • Stevedoring
  3. Malim

Lembaga Pelabuhan Johor juga telah diamanatkan oleh kerajaan untuk menguruskan Terminal Feri Tanjung Belungkor di Kota Tinggi dan Terminal Feri Changi di Singapura.

LPJ menjalankan fungsi mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan di bawah:

  1. Pengguna Pelabuhan
    • Akta 488 (Akta Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1963 – Pindaan 1990)
    • Undang-Undang Kecil LPJ 1979
    • Perjanjian pajakan dengan pengguna pelabuhan
  2. Pengendali Berlesen
    • Akta 488 (Akta Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1963 – Pindaan 1990)
    • Akta 422 (Akta Penswastaan 1992)
    • Undang-Undang Kecil LPJ 1979
    • Perjanjian Pajakan dengan pengendali-pengendali berlesen
    • Perjanjian Penswastaan 1993 (Konsesi)
    • Lesen
    • Perjanjian pengurusan
    • IMDG
    • ISPS
    • Akta Lembaga-Lembaga Pelabuhan 1963 (Pindaan 1990)