Arkib Berita

 

 

LOGO LPJ

 

 

PROGRAM CSR LPJ KEMBALI KE SEKOLAH 2018 : ‘SATU LANGKAH SATU SENYUMAN’

10 Disember 2018 , PASIR GUDANG – Dalam situasi ekonomi negara yang tidak stabil dan peningkatan ke atas kos sara hidup, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah melaksanakan program ‘Kembali Ke Sekolah’ dengan tema ‘Satu Langkah Satu Senyuman’. Program ini bertujuan untuk membantu pelajar dan mengurangkan sedikit tanggungan keluarga yang kurang berkemampuan untuk membeli barangan kelengkapan sekolah sebagai persediaan bagi menghadapi sesi persekolahan 2019.

Seramai 165 orang pelajar yang terdiri dari sekolah rendah dan sekolah menengah sekitar Pasir Gudang telah menerima sumbangan dari LPJ berupa barangan keperluan persekolahan seperti pakaian seragam sekolah, kasut, beg, alat tulis dan sebagainya dengan jumlah perbelanjaan RM 200.00 setiap seorang. Pusat beli-belah Mydin di Taman Rinting telah terpilih sebagai lokasi bagi membeli keperluan persekolahan ini.

Program ‘Kembali ke Sekolah’ ini dihadiri oleh Pengerusi LPJ iaitu Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim bin Ramli, bersama En.Muhammad Razif Ahmad, Pengurus Besar LPJ. Program ini juga turut menerima sokongan dengan kehadiran dari Ahli Dewan Undangan Negeri Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif PAJ, Encik Ramli Abdul Rahman.

Dengan terlaksananya program ini, pihak LPJ dapat merealisasikan matlamat mereka dalam membantu meringankan tanggungan ibu bapa bagi menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka. Di samping itu juga program ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada pelajar untuk terus berjaya dan cemerlang dalam pelajaran.