Arkib Berita

 

JOHOR BAHRU, 29 OKTOBER 2018 – Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) pada hari ini telah melaksanakan Minggu Pelabuhan Lembaga Pelabuhan Johor atau lebih dikenali sebagai LPJ Port Week 2018 yang dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Jana Santhiran a/l Muniayan, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pengangkutan Malaysia di DoubleTree by Hilton Hotel, Johor Bahru. Acara ini merupakan acara tahunan LPJ dan merupakan kali ke-5 dengan tema pada tahun ini ialah Ports And Logistics 2025.

Dalam ucapan yang disampaikan, Yang Berbahagia Dato’ Jana Santhiran telah memaklumkan bahawa kepentingan pelabuhan untuk celik teknologi agar dapat mempromosikan kecekapan operasi, ketelusan dan saling berhubung dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada pengguna pelabuhan. Kegagalan dalam mengimplimentasi teknologi dan rangkaian jalur lebar (internet) dalam pelabuhan menjadikan pelabuhan tersebut kurang kompetitif kerana tidak mampu memenuhi jangkaan dan permintaan pelanggan. Kerajaan akan terus menyokong semua pelabuhan di Malaysia kerana ia penting dalam industri logistik selain mempunyai peranan strategik dalam menyokong ekonomi negara melalui perdagangan. Selain itu, majlis perasmian turut dimeriahkan lagi dengan penyerahan memorandum persefahaman (MOU) antara LPJ dengan Iskandar Halal Park (IHP) Sdn.Bhd serta LPJ dengan Anak Alami Enterprise.

Minggu Pelabuhan pada tahun ini berlangsung selama enam (6) hari bermula pada 27 Oktober hingga 1 November di mana Ports of Treasure Hunt dan Hari Bertemu Pelanggan (HBP) diadakan di Plaza Angsana, Johor Bahru sebagai pembuka tirai program ini. Port Week ini adalah acara tahunan yang dikelolakan oleh LPJ dengan kerjasama Johor Port Berhad (JPB) dan Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn.Bhd (PTP).

Objektif Port Week ini adalah bertujuan untuk memperkenalkan dan mempromosikan pelabuhan-pelabuhan di Johor yang dikenali sebagai Malaysia’s Southern Gateways kepada masyarakat sekali gus mengetengahkan kemudahan serta perkhidmatan kepada pengguna pelabuhan. Agensi-agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Lembaga-Lembaga Pelabuhan juga turut bersama-sama menjayakan program ini dalam menyertai pameran dalam memperkenalkan kemudahan perkhidmatan mereka kepada awam. Tidak ketinggalan juga pameran berbentuk inovasi daripada sekolah-sekolah dan pameran serta jualan barangan Industri Kecil & Sederhana (IKS). Selain itu juga, pameran ini turut disertai Unit Swadaya Negeri Johor yang mengkoordinasikan peluang pekerjaan dan temuduga secara walk in oleh syarikat-syarikat seperti Aeon, KPJ, 7-Eleven, Al- Ikhsan, Sogo dan banyak lagi.

Selain itu, Port Week Conference 2018 yang berlangsung selama dua (2) hari bermula 29 hingga 30 Oktober merupakan salah satu inisiatif Port Center of Excellence (PCOE) LPJ di mana tema pada tahun ini ialah Ports And Logistics 2025. Seramai 18 orang speaker jemputan dari dalam dan luar negara telah berkongsi pengalaman dan maklumat terkini kepada 250 orang peserta pada tahun ini.

Program Port Week 2018 juga turut diisi dengan forum Johor Halal Logistics 1.0  yang diadakan pada 31 Oktober 2018 di Double Tree by Hilton Hotel, Johor Bahru. Forum ini merupakan yang pertama di Johor bagi memberikan pemahaman dan kesedaran berkaitan logistik halal dan rangkaian penawarannya (supply chain) kepada industry logistik dan pelabuhan. Seramai 11 orang speaker telah dijemput untuk berkongsi pengalaman dan “best practices” kepada 200 peserta yang hadir.

Tidak ketinggalan juga Program Career Talk pada 1 November di hotel yang sama dan Ceramah Perdana yang terbuka kepada awam pada malam tersebut di Atrium Pusat Bandar Pasir Gudang yang disampaikan oleh Y.Bhg Dato’ Haji Mohd Tahrir bin Dato’ Shamsudin, Mufti Johor sebagai penutup tirai Minggu Pelabuhan 2018.