Arkib Berita

 

PASIR GUDANG, 25 Mei 2018 :-  Prihatin dengan nasib golongan yang kurang berkemampuan terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) telah melaksanakan program “Menyantuni Mubarak Ramadhan 2018 - Lembaga Pelabuhan Johor”. Program ini adalah bertujuan untuk membantu golongan asnaf yang kurang berkemampuan untuk membeli barangan kelengkapan sebagai persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Seramai 104 orang murid yang merangkumi pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah di kawasan sekitar Pasir Gudang yang berusia antara lingkungan 7 hingga 16 tahun telah menerima bantuan kelengkapan hari raya seperti baju melayu / kurung, seluar, kasut, songkok dan tudung. Matlamat program ini adalah untuk membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan kelengkapan hari raya. Selain itu, program ini juga dapat mengeratkan silaturahim sesama insan di samping menceriakan dan memberikan keriangan kepada anak-anak terbabit untuk menyambut 1 Syawal yang bakal menjelang tiba.

LPJ juga turut menyumbangkan sepasang cermin mata kepada seorang pelajar dari kalangan keluarga asnaf iaitu adik Muhammad Nasrullah bin Abdul Hamid yang mengalami penyakit mata tahap kronik. LPJ berharap sumbangan ini dapat membantu beliau menjalani proses pembelajaran di sekolah kelak.

Kesemua sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim bin Ramli, Pengerusi LPJ dan turut hadir bersama Encik Muhammad Razif bin Ahmad, Pengurus Besar LPJ semasa program berbuka puasa bersama kesemua keluarga asnaf di Tanjung Puteri Golf Resort.


IMG 20180528 WA0045 

IMG 20180528 WA0048

 

IMG 20180528 WA0060

 

IMG 20180528 WA0064