Arkib Berita

PAGEMA – TLP Terminal Drill 2016

Pada 3 November 2016, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) telah menyertai latihan kecemasan iaitu Pasir Gudang Bantuan Kecemasan Bersama (PAGEMA) yang merupakan latihan kecemasan bersepadu berskala besar yang diadakan di Terminal Pelabuhan Tanjung Langsat (TLP). Program latihan kecemasan memasuki siri ke-16 itu bertujuan memberi pendedahan keselamatan kepada 261 orang peserta Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) TLP Terminal Sdn Bhd termasuk agensi berkaitan, sekali gus meningkatkan persediaan menghadapi pelbagai bencana. Latihan itu bagi menguji persediaan peserta ERT, pihak pengurusan dan anggota pekerjanya dalam usaha menghadapi kecemasan, selain menilai kebolehan serta tindak balas menyelamat.


Program ini secara tidak langsung dapat meningkatkan strategi bagi menangani kecemasan di pelabuhan dan koordinasi berkesan dengan agensi kerajaan berkenaan. Antara aspek penting yang turut diambil kira menerusi latihan ini adalah  membabitkan proses ukuran masa tindakan diambil agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Laut Malaysia, Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) dan LPJ serta hospital.. Majlis perasmian program PAGEMA TLP Terminal Drill disempurnakan Pegawai Daerah Johor Bahru, Mohd Halim Hasbullah. Yang turut hadir, Pengerusi PAGEMA, Hasrin Kamal Hashim dan Ketua Pegawai Operasi Terminal TLP, Abdul Rahim Omar. Pada majlis itu, lima simulasi latihan kecemasan diadakan termasuk senario ancaman kapal dan kawasan pelabuhan; tumpahan minyak di laut serta kapal; kebakaran selain mencari dan menyelamat kru kapal di atas kapal serta laut.


PAGEMA ditubuhkan LPJ pada tahun 1998 bertujuan menyelaras dan menyediakan perancangan bagi persiapan menghadapi bencana. Jawatankuasanya membabitkan agensi kerajaan dan pengendali kargo di kawasan perindustrian Pasir Gudang. LPJ selaku Marine Terminal Security Officer (MTSO) memainkan peranan utama dalam menangani situasi sekiranya berlaku ancaman di bawah ISPS Code di semua kemudahan Pelabuhan didalam Had Perairan LPJ. Selain itu, LPJ juga memainkan peranan sebagai “Sea Commander” untuk PAGEMA.

pagema1

pagema2

pagema3