Arkib Berita

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Port Centre of Excellence & Pelancaran Buku Port Development Policy Blueprint For Johor.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Port Centre of Excellence & Pelancaran Buku Port Development Policy Blueprint For Johor.

Lembaga Pelabuhan Johor, selaku badan kawalselia pelabuhan-pelabuhan di Johor sedang melaksanakan salah satu strategi yang telah dikenalpasti dapat menyokong perkembangan industri pelabuhan dan maritim yang semakin pesat tumbuh sejak kebelakangan ini.

Satu majlis telah diadakan bagi Menandatangani Memorandum Persefahaman Penubuhan Port Centre Of Excellence secara kerjasama di antara Lembaga Pelabuhan Johor dengan Johor Port Berhad, Port of Tg. Pelepas, Iskandar Regional Development Authority, Johor Petroleum Development Corporation, ATT Tg Bin, Dialog Pengerang, Universiti Teknologi Malaysia, Netherlands Maritime Institute of Technology dan Universiti Kuala Lumpur.

“Port Centre Of Excellence” diwujudkan secara kerjasama di antara pihak-pihak tersebut dengan objektif untuk memastikan pembangunan modal insan yang mampan dan berterusan khususnya bagi memenuhi permintaan tenaga pekerja yang makin meningkat setiap tahun selari dengan arus perkembangan industri.

Modal Insan merupakan tulang belakang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara, oleh itu langkah-langkah perlu diambil bagi memastikan pengeluaran tenaga pekerja yang mahir dapat memenuhi permintaan pasaran pekerjaan industri pelabuhan dan maritim di Johor.


Tambahan lagi, kemahiran tenaga pekerja sedia ada juga perlu dipertingkatkan bagi melahirkan pekerja yang berkemahiran tinggi sekaligus dapat meningkatkan mutu perkhidmatan yang ditawarkan di samping menyokong sasaran kerajaan dalam menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Dalam majlis yang sama juga turut menyaksikan pelancaran buku “Port Development Policy Blueprint For Johor”. Buku yang diterbitkan menerusi hasil kajian pembangunan industri pelabuhan dan maritim di dalam kawasan had perairan Lembaga Pelabuhan Johor memberi tumpuan kepada kepentingan perlunya ada pelan perancangan dan kerjasama di antara Lembaga Pelabuhan Johor dengan semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam memastikan pembangunan industri pelabuhan dan maritim di Johor adalah teratur.


Platform perbincangan dan perancangan pembangunan industri melibatkan semua pihak berkepentingan perlu diadakan bagi mewujudkan industri yang kondusif untuk semua pihak. Dengan penerbitan buku ini boleh dijadikan sebagai garis panduan kepada platform tersebut.

Lembaga Pelabuhan Johor ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi-agensi yang terlibat kerana memberikan sokongan kepada kedua-dua inisiatif ini.