Arkib Berita

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada wargakerja LPJ di atas daya usahanya mengadakan Program Sukan Dalaman LPJ Kali yang ke 5 / 2009 ini. Untuk pengetahuan tuan-tuan dan puan-puan, Sukan Dalman LPJ yang pertama telah diadakan serentak dengan Hari Keluarga yang diadakan di Summerset pada 17 Julai 2004.

Pada suatu masa dahulu, sukan merupakan aktiviti masa lapang pemuda-pemudi kampung di hadapan rumah mereka. Sukan yang dipermainkan seperti gasing, main guli, congkak, layang-layang dan sebagainya. Tetapi kini, kerajaan sedar sukan adalah penting bagi negara dan rakyatnya supaya mereka dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Negara. Tambahan pula , bersukan dapat menyihatkan badan sekaligus menjadikan badan cergas dan otak cergas. Justeru itu, kerajaan sanggup membelanja dan memperuntukkan wang yang banyak untuk mengadakan kemudahan-kemudahan dan tempat-tempat bersukan di semua peringkat supaya rakyat dapat menjalankan aktiviti sukan yang diminati dengan selesa.

Tambahan lagi, bersukan dapat meningkatkan perpaduan diantara wargakerja. Sebagai contoh Sepanjang minggu diadakan Program Sukan Dalaman ini, kita dapat melihat bagaimana sikap kerjasama serta perpaduan yang dipupuk didalam setiap ahli pasukan supaya pasukan mereka berjaya merebut gelaran juara di dalam setiap acara. Semangat ini yang perlu dipupuk di dalam diri kita untuk lebih maju pada masa hadapan. Kalah dan menang merupakan adat di dalam setiap pertandingan. Tetapi semangat itu yang perlu kita ada bagi meletakkan diri kita sebaris dengan orang lain yang mempunyai cita-cita dan wawasan untuk menang. Sekali gus, semangat perpaduan, persefahaman dan kerjasama ini merupakan pemangkin untuk kita berjaya.

Justeru itu, kita perlu yakin akan kebolehan diri sendiri dan perancangan serta pendekatan ketua di setiap pasukan dalam menangani masalah dan memajukan pasukan. Jika kita percaya kita boleh menang di setiap perlawanan yang dipertandingkan, besar kemungkinan kita akan berjaya. Namun kita perlu pupuk budaya kesukanan dan etika yang sesuai dengan kejayaan. Demikian juga, apa yang kita kurang yakin akan dicapai oleh kita hari ini akan dapat kita capai di masa hadapan jika kita berusaha bersungguh-sungguh, jika kita pelihara semangat perpaduan, persefahaman dan kerjasama di dalam pasukan kita. Segala-galanya bergantung kepada kita. Anggaplah persaingan daripada pasukan-pasukan yang lain sebagai penanda arasan untuk kita bersaing secara sihat. Tetapi segala-galanya bergantung kepada kita di dalam pasukan. Jika kita bijak, mempunyai strategi, mengekalkan persefahaman, bakerjasama dan berlatih dengan bersungguh-sungguh, Insya-Allah kita akam dapat membentuk satu pasukan yang berdaya saing dan berpeluang untuk menang di dalam setiap permainan yang dipertandingkan. Oleh itu marilah kita berusaha bersungguh-sungguh di dalam setiap acara yang dipertandingkan dan saya berdoa kita semua akan memperoleh kemenangan di dalam Sukan Dalaman ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan selain itu, Program Sukan Dalaman ini merupakan suatu aktiviti sosial dan riadah bagi wargakerjanya. Melalui program ini, wargakerja dapat menghilangkan tekanan dengan melupakan seketika tugasan hakiki di pejabat. Di dalam program ini juga wargakerja dapat menunjukkan bakat-bakat terpendam mereka di dalam bidang sukan yang selama ini tidak di ketahui oleh orang lain. Ada diantara wargakerja kita yang pernah mewakili peringkat sekolah, peringkat negeri dan peringkat kebangsaan. Manalah tahu, dengan adanya program ini, di masa hadapan LPJ boleh menghantar satu kontigen ke Pertandingan Sukan yang dianjurkan oleh Jabatan-Jabatan Kerajaan, APA dan sebagainya.
Akhir kata, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Sukan Dalaman dan semua mereka yang terlibat dalam menjayakan Sukan Dalaman ini. Oleh itu dengan lafaz Bismillah sukacita saya dengan ini merasmikan Sukan Dalaman LPJ kali ke 5 tahun 2009. Saya sudahi ucapan saya dengan 2 rangkap pantun:

 "Banyak kapal belayar di lautan,
Setelah selesai memunggah di Dermaga
Kuatkan semangat untuk berlawan,
Jangan sampai kita bersengketa.

Penat belayar singgah di Yunan,
Naik ke darat mencari gelama,
Menang kalah adat pertandingan.
Semangat kesukanan yang paling utama.
Wasaalammualaikum.
Sekian terima kasih. "