Fungsi Bahagian

1. BAHAGIAN OPERASI DAN KAWALSELIA

Bahagian Operasi dan Kawalselia merupakan bahagian utama di Lembaga Pelabuhan Johor. Ia bertanggungjawab untuk memastikan operator-operator pelabuhan menjalankan tugasnya mengikut Undang-undang dan syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam perjanjian dan lesen operasi yang dikeluarkan. Bahagian ini mempunyai dua unit di bawahnya:-

Unit Keselamatan dan Kawalselia

Unit ini terdiri daripada tiga unit kecil iaitu Unit Bomba, Unit Kargo Bahaya dan Unit Keselamatan. Unit ini adalah lebih kepada mengawalselia aspek-aspek keselamatan operasi pelabuhan.

Unit Bomba

Tumpuan utama unit ini adalah pengawalseliaan terhadap aktiviti kebombaan seperti pengendalian kerja bahaya di pelabuhan. Selain itu, Unit ini juga memantau dan mengawalselia keutuhan segala Pepasangan Keselamatan Kebakaran (PKK) dalam kawasan pelabuhan untuk memastikan ia mampu berfungsi dengan baik ketika menghadapi sebarang keadaan kecemasan.

Unit Kargo Bahaya

Unit ini berperanan dalam melaksanakan pengawalseliaan dan penguatkuasaan ke atas pengendalian kargo bahaya dengan cekap dan berkesan. Ia menyediakan kemudahan sistem pengisytiharan kargo bahaya yang mudah dan praktikal dengan menetapkan kumpulan pengendalian kargo bahaya.

Unit Keselamatan

Unit ini bertanggungjawab untuk memantau supaya kawasan pelabuhan –pelabuhan bebas dari ancaman keselamatan dan aktiviti jenayah. Ia juga sentiasa melaksanakan langkah-langkah keselamatan kemudahan pelabuhan selaras dengan kehendak-kehendak Kod ISPS.

Unit Marin

Fungsi utama unit ini ialah menguruskan pelesenan malim pelabuhan dan memastikan mereka memenuhi piawaian pemaliman. Ia juga menguruskan pelesenan perkhidmatan-perkhidmatan sokongan pelabuhan dan jeti-jeti persendirian. Unit ini juga bertanggungjawab dalam memastikan semua aktiviti-aktiviti marin di had Pelabuhan Johor sentiasa mematuhi keperluan undang-undang dan syarat-syarat operasi seperti yang telah ditetapkan. Unit ini turut membuat rondaan dan penguatkuasaan bagi memantau keselamatan dalam kawasan had perairan pelabuhan.

 

2. BAHAGIAN KHIDMAT KORPORAT DAN PEMBANGUNAN

Bahagian Khidmat Korporat dan Pembangunan bertanggungjawab untuk mempromosikan dan menjadi pemudahcara perdagangan (trade facilitator) bagi pelabuhan-pelabuhan di bawah kawalseliaan LPJ melalui aktiviti pameran-pameran setempat ataupun antarabangsa dan liputan media. Ia juga memantau pembangunan fizikal pelabuhan dan turut bertanggungjawab untuk membangunkan sistem maklumat LPJ.

Unit Khidmat Korporat dan Pemasaran

Unit Khidmat Korporat merupakan badan perhubungan LPJ yang menjaga hal ehwal korporat, pemasaran, promosi dan pemudahcara perdagangan kepada pelabuhan-pelabuhan dibawah kawalseliaannya. Ia juga menjadi penghubung LPJ dengan pihak media dan merupakan pusat pengumpulan dan sumber maklumat LPJ.

Unit Pembangunan

Unit Pembangunan bertanggungjawab dalam memantau pembangunan fizikal di Pelabuhan Johor dan PTP dan mengawalselia penyenggaraan kepada semua aset tidak bergerak LPJ. Ia juga melaksana projek-projek pembangunan di bawah peruntukan Lembaga Pelabuhan Johor dan Persekutuan.

Unit Pembangunan Teknologi Maklumat

Unit ini membangunkan serta menyenggara sistem maklumat LPJ. Ia juga menghubungkaitkan sistem maklumat LPJ dengan aplikasi sistem-sistem maklumat pengendali-pengendali pelabuhan.

 

3. BAHAGIAN KHIDMAT PENGURUSAN DAN KEWANGAN

Bahagian Pentadbiran dan Kewangan LPJ memainkan peranan sokongan dan bertanggungjawab dalam pengurusan sumber manusia dan kewangan LPJ. Ia juga menguruskan hartanah LPJ yang dipajakkan kepada pengendali-pengendali pelabuhan dan juga hartanah-hartanah lain milik LPJ.

Unit Pentadbiran

Unit Pentadbiran menguruskan hal ehwal pentadbiran dan pengurusan pejabat agar dapat melancarkan sistem penyampaian dan sokongan kepada pelaksanaan fungsi organisasi. Unit ini juga menguruskan dan membangunkan sumber manusia agar dapat memenuhi keperluan dan kehendak organisasi dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab.

Unit Kewangan

Menguruskan sumber kewangan dengan cekap dan telus serta menyenggara aset-aset bergerak mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Unit Hartanah

Unit Hartanah berperanan dalam mengawalselia dan membangunkan tanah milik LPJ terutamanya yang dipajakkan kepada pengendali-pengendali pelabuhan. Ia juga memantau dan mengendalikan hartanah-hartanah LPJ yang lain seperti bangunan pejabat, rumah kediaman kakitangan, flat kediaman, rumah rehat pelabuhan dan lain-lain. Di samping itu, Unit ini turut membuat penambahan keatas aset-aset LPJ melalui pembelian terus, permohonan tanah kerajaan dan pengambilan balik tanah.

 

4. UNIT AUDIT DALAM

Unit ini membantu pihak pengurusan menjalankan urus tadbir yang baik berpandukan kepada arahan dan peraturan pentadbiran dan kewangan yang berkuatkuasa.

 

5. UNIT UNDANG-UNDANG

Unit Undang-undang di LPJ berperanan membantu dan menasihatkan pihak pengurusan LPJ dalam mentafsirkan dan melaksanakan tanggungjawab mengikut undang-undang Negara. Ia juga bertindak sebagai Urusetia bagi Lembaga Pengarah LPJ dan LPJ (TP) .

6. PENGURUSAN TERMINAL FERI

a) Pengurusan Terminal Feri bertanggungjawab untuk menyusun dan menetapkan laluan dan perkhidmatan Feri.

b) Pengurusan Terminal Feri bertanggungjawab untukmenjaga keselamatan terminal feri dengan menguatkuasa undang-undang kecil pelabuhan serta mematuhi Kod Keselamatan Pelabuhan (ISPS Code)

c) Pengurusan Terminal Feri bertanggungjawab menyediakan kemudahan pelabuhan yang terbaik dan selamat untuk kapal / feri ke terminal.

d) Pengurusan Terminal Feri bertanggungjawab mengawal selia operasi feri / kargo di Terminal Feri supaya sentiasa berada di tahap yang terbaik.

e) Pengurusan Terminal Feri bertanggungjawab memperkembangkan dan mempelbagaikan operasi di Terminal Feri.   

7. UNIT KAWALAN TRAFIK 

1. Unit Trafik ditubuhkan pada 1 Januari 2007. 

2. Antara fungsi-fungsi Unit Trafik adalah:

a) Mengawal selia sistem kenderaan kargo

b)   Mengawal sistem simpanan kargo   

c)  Mengawalselia serta memantau operasi pengendalian kargo dan sistem- sistem yang digunapakai di dalam proses punggah memunggah dan penyimpanan kargo sentiasa dipatuhi oleh pengendali- pengendali pelabuhan

d) Memastikan undang- undang kecil Lembaga Pelabuhan Johor 1988 ( Kadar, Caj dan Tariff) dan Undang- Undang kecil Lembaga Pelabuhan Johor Tanjung Pelepas 2000 ( Kadar, Caj dan Tariff) serta Non- Prescibed Tariff yang telah diiktiraf di patuhi sentiasa oleh pengendali- pengendali pelabuhan.

 

Kembali